Sunday 3 February 2013

Realiti Harga Kereta di Malaysia : Kalau di US Harganya (US$29,000). Bagaimana Pula Harga di Malaysia?


Harga Kereta Mercedes Benz Realiti Harga Kereta di Malaysia : Kalau di US Harganya (US$29,000). Bagaimana Pula Harga di Malaysia?
Suka untuk kami untuk kongsikan satu iklan Mercedes yang terbaru, yang menimbulkan satu persoalan di benak fikiran kami….Agak-agaknya, berapakah harga kereta model Mercedes Benz CLA-Class ini apabila sampai dan mula di jual kepada rakyat Malaysia kelak.
  1. Gaji lepas graduan universiti agak tinggi di USA, harga kereta yang ditawarkan mampu milik
  2. Gaji lepasan graduan universiti di Malaysia agak kecil, harga kereta melambung tinggi (berkali-kali ganda)
Bukanlah pemilihan kereta Mercedes Benz dijadikan pilihan terbaik untuk dijadikan perbandingan. Kami pun tidak menggalakan sesiapa untuk membeli kereta mewah seperti ini. Kalau mampu, teruskan. Kebetulan sebenarnya kami menjumpai iklan terbaru model Mercedes Benz ini sehingga membuatkan kami tertanya-tanya, mengapa kalangan yang menentukan dasar harga kereta di malaysia meletakkan satu penanda aras harga yang sebegini rupa? Mengapa?
Rakyat Malaysia terpaksa beli kereta kerana perkhidmatan awam yang disediakan ketika ini tidak mencapai tahap memuaskan. Tetapi masalahnya harga kereta ditawarkan agak membebankan. Tetapi terpaksa juga beli, jikalau tidak tidak bergeraklah mereka ke tempat kerja. Akhirnya mereka-mereka ini, berhadapan jumlah kadar bayaran bulanan yang tinggi berbanding kadar gaji yang diterima mereka….
  • Purata gaji lepasan graduan universiti 1978 : Sekitar RM1,100
  • Purata gaji lepasan garaduan universiti 1978 : Sekitar RM2,500
  • Harga Honda Civic Tahun 1978 : RM13,000 (11 bulan gaji)
  • Harga Honda Civic Tahun 2012 : RM130,000 (52 bulan gaji)

Iklan Komersial Model Terbaru Mercedes Benz

Minit ke 1:11, kereta Mercedes memotong F1 Petronas Malaysia
Apakah negara kita, Malaysia begitu terdesak benar untuk meraih pulangan pendapatan kepada negara sekitar RM7 bilion setahun untuk cukai kereta sehingga tidak sanggup menurunkan sejumlah kecil margin keuntungan/pendapatan negara bagi cukai kereta di Malaysia ketika ini. Bukanlah rakyat Malaysia terdesak benar mahu meminta untuk diturunkan harga sehingga pendapatan negara bagi cukai kereta hanya tinggal pada kadar 2, 3 bilion ringgit sahaja. Tidaklah begitu….
  1. Andaikata cukai eksais diturunkan sedikit dan negara kehilangan sekitar 2 bilion contohnya bagi hasil cukai kereta sekaligus menjadikan pulangan kepada kerajaan berkurangan daripada RM7 menjadi RM5 bilion. Masih lagi untung bukan? Untung….Cuma margin pendapatan  mengecil sedikit. Itu sahaja.
  2. Adakah pendapatan negara hanya berpusat kepada cukai kereta semata? Tidak bukan….
  3. Rugi sedikit tetapi yang penting rakyat untung banyak jika diturunkan cukai kereta. Persoalannya boleh bankrapkah Malaysia?
  4. Akhirnya pendapatan boleh guna/dibelanjakan (Disposable Income) oleh rakyat Malaysia semakin bertambah
  5. Aliran ekonomi setempat juga semakin meningkat dan berkembang
Sehinggakan kami sendiri tertanya-tanya, apakah rakyat Malaysia sehingga hari ini dianak tirikan? Buktikan Berita Semasa. Buktinya…jikalau kalangan anda di sini mengikuti daripada awal setiap laporan Berita Semasa daripada awal, pasti teringat laporan berita seperti di bawah ini :
  • Warga asing yang tinggal di Malaysia berpeluang memiliki kereta di Malaysia yang harganya jauh lebih murah berbanding rakyat Malaysia sendiri yang terpaksa bayar lebih. (KLIK SINI UNTUK BUTIRANNYA)
  • Benarkah harga kereta Nasional yang dijual di Malaysia lebih mahal berbanding yang dijual di luar negara? Benar sama sekali. (BUKTINYA DI SINI).
Malaysia, adalah satu-satunya negara di dunia yang ada projek kereta nasional (yang telah pun menerima subsidi sekitar RM17 bilion berdasarkan data yang diperolehi daripada Kementerian Kewangan & Perbendaharaan Negara setakat tahun 1996) tetapi malangnya ianya dijual mahal di negara sendiri. Bertambah pelik lagi model kereta Nasional yang ditambahbaik termasuklah ciri keselamtannya dijual murah pula di negara lain.
Kami yakin, jikalau pengurusan kewangan negara diurus dengan baik, lebih telus dan jujur kami yakin negara Malaysia akan diangkat semula sebaris dengan Jepun dan Korea Selatan (yang sekitar tahun 90 an dahulu Malaysia setaraf dengan negara “harimau Asia” yang lain daripada sudut ekonomi SEPERTI DI SINI).
Contohnya, ada di sini yang bekerja di negara Arab? Baiklah….sebenarnya jikalau mahu dibandingkan negara Arab dengan Malaysia berdasar SUMBER ASLI, Malaysia jauh lebih banyak daripada mereka. Negara mereka, hanya ada minyak dan gas. Malaysia? Kelapa sawit, minyak, gas asli, balak, perikanan, pertanian, penternakan dan sebagainya.
Oleh itu secara kiraan matematiknya dan logik, rakyat Malaysia seharusnya lebih berharta dan berkemampuan (tidak kaya pun tidak mengapa, sekurang-kurangnya hidup selesa tanpa dibebankan kos sara hidup yang tinggi termasuklah harga kereta mampu milik dan paling penting ada sebiji rumah yang selesa untuk mereka).
Datuk Seri Najib Razak masih ada masa dan peluang untuk membuktikan slogan “Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan” benar-benar berikan impak kepada rakyat Malaysia. Bagi kami usaha kerajaan memberikan BR1M harus dipuji dan merupakan permulaan yang baik. Walaubagaimanapun, kami masih ternanti-nantikan usaha kerajaan untuk menangani masalah pokok yang melanda rakyat Malaysia ketika ini menyentuh kos sara hidup rakyat setiap hari, setiap bulan termasuklah kadar harga kereta di Malaysia. Apa pandangan dan pendapat anda pula?

No comments:

Post a Comment